5 SUNNAH MENYAMBUT AIDILFITRI

Pasti ramai tertanya-tanya bagaimanakah Rasulullah menyambut Hari Raya Adilfitri, apakah cara yang betul bagi menyambut hari kemenangan bagi umat Islam ini? Di sini saya akan kongsikan 5 perkara yang dilakukakan oleh Rasulullah pada Hari Raya Aidilfitri.

1. Mandi Sunat Hari Raya

Perkara ini kelihatan remeh namun ia adalah salah satu Sunnah yang mudah dilakukan. Mandi di pagi raya yang digalakkan adalah sebelum ke masjid untuk menunaikan solat Sunat Aidilfitri.

Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:“Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

2. Bertakbir

Takbir yang dilafazkan pada hari raya Aidilfitri adalah takbir Mursal di mana umat Islam akan bertakbir pada waktu Maghrib malam raya dan berakhir apabila imam mengangkat takbir pada pagi raya. Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke
masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri.

“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulanRamadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.

CONTOH TAKBIR RAYA:

3. Makan sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a berkata : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak keluar pada pagi hari Raya Aidilfitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Bukhari].

4. Menunaikan Solat Sunat Aidilfitri

Tidak lengkap la Hari Raya kita tanpa menunaikan solat Sunat Aidilfitri terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti lain seperti ziarah-menziarahi.

“Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.

Namun, para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu.

CARA-CARA MENUNAIKAN SOLAT SUNAT AIDILFITRI

5. Berpuasa Sunat 6 hari pada bulan Syawal

Cara yang digalakkan dan sering dilakukan adalah dengan memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau
berpisah-pisah.

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.

Berikut adalah antara amalan Sunnah pada hari raya Aidilfitri yang boleh dilakukan. Selain itu, kita juga haruslah mengelakkan pembaziran, bergaul lelaki perempuan yang bukan Mahram dan sentiasa mengingati Allah serta tidak berlebih-lebihan dalam menyambut Hari Raya. Semoga kita semua dirahmati Allah dan segala amalan kita diterima.

Leave a Comment

Ayuh Jana Pendapatan Bersama Kami

%d bloggers like this: